Wednesday, November 21, 2012

Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Pendidikan


Pengenalan
Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu telah mencapai martabatnya sebagai bahasa negara sejak berzaman lagi. Bermula dari zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka hinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan. Bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152. Hal ini disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan yang boleh difahami oleh semua kaum.

            Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan. Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. (Abu Hassan Othman,1997).

 Kepentingan Bahasa Melayu
            Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa pengantar di Malaysia. Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di negara kita dimulakan dengan pengubalan Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak pada tahun 1956. Usul ini diperteguhkan dengan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib pada tahun 1960. Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut,

 ... Dan bahawasanya peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk, khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.”
Akta Pelajaran 1961-
             Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, Universiti Kebangsaan Malaysia telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam bahasa Melayu. Penulisan tesis dan syarahan perdana telah disampaikan dalam bahasa Melayu oleh pensyarah-pensyarahnya.

            Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa ilmu dalam bidang pendidikan kebangsaan. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki cirri-ciri yang tersendiri. Ciri-ciri yang terdapat dalam bahasa Melayu itu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu. Bahasa Melayu mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

            Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat dilihat apabila negara luar mengiktiraf bahasa Melayu. Contohnya dengan pengwujudan Kerusi Pengajian Melayu dan penawaran kursus bahasa Melayu di universiti luar negara.


           Di samping itu juga, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa rasmi di dalam semua urusan pentadbiran terutamanya dalam bidang pendidikan sama ada secara lisan atau tulisan. Kamus Dewan (1970:59) mendefinisikan bahasa rasmi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan secara meluas oleh pihak kerajaan sesebuah negara dari peringkat menteri hinggalah ke peringkat bawahan. Ia juga menjadi lambang atau simbol identiti sebuah negara merdeka. Antara fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu mereka menjalankan tugas rasmi, sebagai media pelbagai urusan surat menyurat dalaman dan antara jabatan kerajaan dan digunakan dalam semua jenis borang-borang rasmi negara.

            Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa rasmi pada 1 September 1967, iaitu selepas 10 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bermula dari detik itu, bahasa Melayu secara rasminya digunakan secara meluas dalam semua urusan rasmi kerajaan. Pengeluaran surat pekeliling Am No. 12 pada tahun 1967 memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasminya. Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam pentadbiran harian, bahasa  pengantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri.

 Rumusan
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘linguafranca’ dan juga ‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan dan bahasa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Penggunaan bahasa Melayu secara meluas diharap dapat mewujudkaan satu bangsa Malaysia dalam merealisasikan 1 Malaysia yang mana ingin rakyatnya berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mendokong satu bangsa serumpun yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara dan undang-undang yang masih terpakai sebagai sesuatu yang telah
diterima oleh semua rakyat. Bahasa Melayu telah menjurus negara ke arah keharmonian dan perpaduan yang memantapkan 1 Malysia sehingga menjana negara sebagai pelopor perpaduan dan menjadi contoh negara yang mengamalkan demokrasi pelbagai kaum. Oleh itu, aspirasi negara melalui 1 Malaysia boleh direalisasikan melalui fungsi-fungsi bahasa Melayu kerana “Bahasa Jiwa Bangsa”  

Fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.


 Pengenalan

Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar. Bahasa pengantar boleh didifinisikan sebagai bahasa yang ditetapkan oleh sesebuah negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikannya seperti bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil.  Bahasa-bahasa ini telah ditetapkan oleh Laporan Abdul Razak Hussien (1956) dan Laporan Pelajaran Abdul Rahman Talib (1960) sebagai bahasa pengantar.             Dengan berkuatkuasanya Akta Pelajaran pada tahun 1961, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan dan agama.

 Fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

 Menyatupadukan rakyat Malaysia
Dengan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ia dapat menyatupadukan penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Dengan kata lain ia menjadi bahasa perpaduan di Malaysia. Bahasa Perpaduan dapat diertikan sebagai bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia( antara individu dengan individu yang lain) yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam sebuah negara.


            Penduduk Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu  Melayu, Cina dan India. Dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan pada zaman penjajahan menyebabkan penduduk di Tanah Melayu berpecah belah. Orang-orang Melayu tinggal di kawasan kampung, orang-orang Cina pula hidup di bandar-bandar manakala orang-orang India pula tinggal di kawasan-kawasan estet. Kewujudan sekolah vernakular juga telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan masing-masing dan menyebabkan hubungan antara mereka semakin renggang. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, soal perpaduan kaum menjadi agenda utama dalam melaksanakan aktiviti pendidikan pada masa itu. Melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah; kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama diharap akan dapat memupuk kembali perpaduan rakyat yang renggang sebelum ini.

            Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara telah bermula sejak sekian lama. Pelbagai akta dan dasar seperti Akta Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Bahasa kebangsaan 1967 serta Laporan  Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1982) telah dirancang, digubal dan dilaksanakan. Akta Pelajaran 1961 memberikan fokus kepada usaha mengembangkan pendidikan di negara ini melalui bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar menggantikan bahasa Inggeris.

 Alat komunikasi
Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Menurut A. Aziz Deraman (206:288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Peranan bahasa Melayu  sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud urusan rasmi dalam bidang pendidikan. Pengajaran semua subjek mata pelajaran dalam bahasa Melayu di semua peringkat sekolah rendah dan menengah kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris amat jelas selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu. Pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu adalah contoh yang paling jelas bagaimana bahasa Melayu berfungsi sebagai alat komunikasi di antara pelajar dan guru. Pengajaran dalam bahasa Inggeris menyebabkan pelajar terutama pelajar Melayu jauh ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak faham akan bahasa Inggeris.
           
            Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini juga mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini. Penyata Razak yang telah diakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957 yang mewajibkan semua sekolah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi pelbagai kaum etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai alat komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi kerana rata-rata pelajar-pelajar kita berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah dan di rumah dalam bahasa Melayu.

 Menyalurkan Ilmu Pengetahuan
Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu di kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan konsep rakyat didahulukan, perpaduan akan dikecapi. Nikmat daripada kesejahteraan rakyat maka dapatlah kita merealisasikan pencapaian melalui ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu telah memperkasa anak watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi sekaligus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara.

            Menurut Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu  bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Kedua-dua ciri ini terdapat pada bahasa Melayu di mana ia mampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa melalui pelbagai rintangan dan ia juga mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.

 Rumusan
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘lingua-franca’ dan juga ‘bahasa kedua’akhirnya menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana bagi merealisasikan Gagasan 1 Malaysia iaitu penerapan nilai-nilai aspirasi yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju melalui sistem pendidikan serta membantu mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maaju dan mampu bersaing dalam persekitaran global. Bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaannya sebagai bahasa pengantar dan bahasa wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat pengisian fikiran dan melahirkan pendapat.











                                           

EMPAT KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA DI DALAM BILIK DARJAH


 EMPAT KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA DI DALAM BILIK DARJAH


 KESALAHAN PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA
Kesalahan yang pertama ialah penggunaan kata sendi nama. Kata sendi nama digunakan untuk menyambung frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat. Kata sendi memerlukan frasa nama yang membentuk prediket ayat. Contoh-contoh kata sendi nama ialah dari, daripada,di,pada dan ke.Murid-murid kerap menyalahgunakan penggunaan kata sendi kata ‘ dan ‘daripada’.
            Kata ‘dari’ dan ‘daripada’ mempunyai fungsinya tersendiri. ‘Dari’berfungsi untuk menunjukkan masa dan tempat manakala ‘daripada’digunakan dalam hal-hal yang lebih umum iaitu untuk orang, perbandingan, abstark, pertentangan, asal kejadian dan untuk menyatakan keanggotaan.

A) Kesalahan penggunaan kata depan ‘di’. Contonnya :
            i) Suasana amat tenang di pagi yang permai itu. ( salah )
               Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu ( betul )

ii) Kita harus fasih bertutur di dalam bahasa Melayu. ( salah )
                Kita harus fasih bertutur dalam bahasa Melayu. ( betul )

B) Kesalahan penggunaan kata depan ‘dari’. Contohnya :
            i) Dia berjalan kaki daripada Kota Tinggi. ( salah )
               Dia berjalan kaki dari Kota Tinggi. ( betul )
            ii) Saya menantinya daripada pukul dua petang. ( salah )
                Saya menantinya dari pukul dua petang. ( betul )

C) Kesalahan penggunaan kata depan ‘daripada’. Contohnya :
            i) Rumah itu lebih cantik dari rumah ini. ( salah )
               Rumah ini lebih cantik daripada rumah ini. ( betul )
            ii) Kain itu dibuat dari sutera. ( salah )
                Kain itu dibuat daripada sutera. ( betul )

 KESALAHAN PENGGUNAAN KATA GANTI NAMA  DIRI
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), kata ganti nama diri boleh dibahagikan kepada dua iaitu kata ganti nama diri tunjuk dan kata ganti nama diri orang. Kata ganti nama diri orang pula terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama, kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga. Kata ganti nama jenis ini mengandungi perkataan yang merujuk diri orang tertentu seperti yang ditunjukkan di bawah.

Kata ganti nama diri orang
Contoh
i) orang pertama
saya, aku, beta, patik, kami dan kita
ii) orang kedua
anda, engkau, awak dan kamu
iii) orang ketiga
ia, dia, mereka dan -nya

Kata beliau, dia, ia, kami, kita dan mereka sering digunakan dengan salah. Kata beliau tidak harus digunakan untuk orang yang tidak dihormati atau kanak-kanak dan binatang. Kata mereka tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang. Contoh kesalahan yang sering dilakukan oleh murid ialah :
A) Firdaus dihukum. Beliau ponteng sekolah. ( salah )
     Firdaus dihukum. Dia ponteng sekolah. ( betul )
B) Baju ini mahal. Ia diimport dari Itali. ( salah )
    Baju ini mahal. Baju ini diimport dari Itali. ( betul )
C) “Kami mesti memenangi perlawanan ini,” kata Anas kepada Nazrul. ( salah )
     “Kita mesti memenangi perlawanan ini,” kata Anas kepada Nazrul. ( betul )

 KESALAHAN PENGGUNAAN PENJODOH BILANGAN
Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan. Penjodoh bilangan digunakan untuk menentukan sesuatu benda mengikut bentuk, rupa, saiz dan sebagainya. Ianya selalu digunakan sebelum sesuatu kata nama yang menunjukkan jumlah atau bilangan. Antara penjodoh bilangan yang sering disalahgunakan penggunaannya ialah keping, biji, buah, batang, kuntum dan jambak.
            Walaubagaimanapun ada juga penjodoh bilangan yang tidak digunakan bersama-sama dengan kata bilangan. Contohnya :

A) Setiap orang peserta dikehendaki mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
     Setiap peserta dikehendaki mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
B) Encik Kamal telah memberikan sebuah pendapat yang bernas. ( salah )
     Encik Kamal telah memberikan pendapat yang bernas. ( betul )
* Penjodoh bilangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.
C) Shila memetik sejambak bunga lalu disematkan di rambutnya. ( salah )
     Shila memetik sekuntum bunga lalu disematkan di rambutnya. ( betul )
* Penjodoh bilangan perlu digunakan bersesuaian dengan konteks ayat.

 KESALAHAN PENGGUNAAN KATA HUBUNG
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menyambung atau menghubungkan sesuatu kata atau frasa dalam sesuatu ayat. Kata hubung terbahagi kepada 3 bahagian iaitu :
1) kata hubung gabungan
            Contoh : dan, serta, atau, sambil, maka
2) kata hubung pancangan
            Contoh : sejak, tetapi,, kerana, hingga, antara, apabila, semenjak
3) kata hubung berpasangan
            Oleh sebab – maka, walaupun – namun, biarpun- tetapi, meskipun – namun
Antara kesalahan murid semasa pengajaran tatabahasa ialah :
a) Mengulang penggunaan kata hubung ‘dan’ untuk tujuan sama dalam satu ayat.

i) Dia bekerja dan berniaga pada waktu siang dan berehat pada waktu malam. ( salah )
   Dia bekerja dan berniaga pada waktu siang serta berehat pada waktu malam. ( betul )
b) Gunakan ‘atau’ jika bermaksud membuat pilihan.
i) Kamu boleh berehat di hotel dan di rumah tumpangan.
   Kamu boleh berehat di hotel atau di rumah tumpangan.
c) Jika ‘atau’digunakan, perkataan sebelumnya mesti diulang tulis.
i) Pelajar itu menghisap rokok atau dadah?
   Pelajar itu menghisap rokok atau menghisap dadah?

 RUMUSAN
Tatabahasa menjadi asas untuk penglahiran bahasa yang indah dan difahami pengguna. Dengan itu, bahasa dapat dieksploitasikan untuk mewujudkan gaya dan laras bahasa yang tersendiri. Tatabahasa berfungsi untuk memisahkan bentuk yang gramati dan bentuk yang bukan gramatis. Pengajaran tatabahasa adalah pengajaran mengenai hukum-hukum dan peraturan sesuatu bahasa. Hal ini melibatkan struktur dan sistem bahasa tersebut. Pemahaman yang baik tentang selok-belok struktur dan sistem bahasa yang dipelajari akan membolehkan seseorang menguasai dan menggunakan bahasa itu dengan betul, cekap dan berkesan. Pelajar-pelajar masih lemah dalam penguasaan bahasa, terutamanya aspek tatabahasa. 

Monday, November 12, 2012

Uji Minda Anda


Cari benda-benda tersembunyi 


Objek carian :  Gunting, topi, kura-kura, senduk, ikan, itik, jarum, tongkat, paku, rama-rama


SELAMAT BERJAYA! 


Untuk memuat turun uji minda ini, sila klik sini



Program Sekolah Selamat



Program Sekolah Selamat dilancarkan di sekolah-sekolah di Malaysia bagi membendung masalah disiplin para pelajar. Kerjasama dari warga sekolah seperti guru, pelajar, kakitangan sokongan, pentadbir sekolah, kaunselor dan sebagainya amat diperlukan bagi memastikan kelancaran program ini. Setiap warga sekolah mestilah mempunyai kesedaran tentang keselamatan dan diterjemahkan melalui sikap dan tingkahlaku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik.

PERANAN SEKOLAH                                                         
1) Mewujudkan Jawatankuasa Sekolah Selamat.
2) Menguatkuasakan semua peraturan sekolah dengan bersungguh-sungguh dan tegas.
3) Memastikan alat pemadam api berfungsi dengan baik.
4) Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.
5) Menerapkan unsur-unsur keselamatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

PERANAN KOMUNITI
1) Melibatkan ketua masyarakat dalam proses menjadikan sekolah selamat.
2) Menyokong semua polisi dan peraturan sekolah.
3) Memberi sumbangan berbentuk material atau pandangan.
4) Melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sekolah.

PERANAN KELUARGA
1) Menyokong semua aktiviti dan peraturan sekolah.
2) Melibatkan diri secara aktif dalam semua aktiviti sekolah dan komuniti.
3) Memperkukuhkan nilai-nilaai agama/moral kepada anak-anak.
4) Mendidik anak-anak bagaimana menjaga keselamatan diri.



Monday, November 5, 2012

Tip-tip menjadi pelajar cemerlang



Anda ingin menjadi pelajar cemerlang!!!
Ikuti tip-tip di bawah.

1) Kerap mengulang kaji pelajaran.
2) Berkawan dengan orang yang rajin mengulang kaji pelajaran.
3) Tanamkan semangat untuk berjaya.
4) Jadikan idola sebagai penguat semangat anda.
5) Dapatkan keberkatan dari kedua orang tua dan guru anda.
6) Berdoa dan bertawakal kepada Allah S.W.T

P/s: Semoga berjaya!!









Welcome to My Blog