Wednesday, November 21, 2012

Fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.


 Pengenalan

Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar. Bahasa pengantar boleh didifinisikan sebagai bahasa yang ditetapkan oleh sesebuah negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikannya seperti bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil.  Bahasa-bahasa ini telah ditetapkan oleh Laporan Abdul Razak Hussien (1956) dan Laporan Pelajaran Abdul Rahman Talib (1960) sebagai bahasa pengantar.             Dengan berkuatkuasanya Akta Pelajaran pada tahun 1961, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan dan agama.

 Fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

 Menyatupadukan rakyat Malaysia
Dengan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ia dapat menyatupadukan penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Dengan kata lain ia menjadi bahasa perpaduan di Malaysia. Bahasa Perpaduan dapat diertikan sebagai bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia( antara individu dengan individu yang lain) yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam sebuah negara.


            Penduduk Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu  Melayu, Cina dan India. Dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan pada zaman penjajahan menyebabkan penduduk di Tanah Melayu berpecah belah. Orang-orang Melayu tinggal di kawasan kampung, orang-orang Cina pula hidup di bandar-bandar manakala orang-orang India pula tinggal di kawasan-kawasan estet. Kewujudan sekolah vernakular juga telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan masing-masing dan menyebabkan hubungan antara mereka semakin renggang. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, soal perpaduan kaum menjadi agenda utama dalam melaksanakan aktiviti pendidikan pada masa itu. Melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah; kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama diharap akan dapat memupuk kembali perpaduan rakyat yang renggang sebelum ini.

            Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara telah bermula sejak sekian lama. Pelbagai akta dan dasar seperti Akta Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Bahasa kebangsaan 1967 serta Laporan  Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1982) telah dirancang, digubal dan dilaksanakan. Akta Pelajaran 1961 memberikan fokus kepada usaha mengembangkan pendidikan di negara ini melalui bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar menggantikan bahasa Inggeris.

 Alat komunikasi
Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Menurut A. Aziz Deraman (206:288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Peranan bahasa Melayu  sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud urusan rasmi dalam bidang pendidikan. Pengajaran semua subjek mata pelajaran dalam bahasa Melayu di semua peringkat sekolah rendah dan menengah kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris amat jelas selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu. Pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu adalah contoh yang paling jelas bagaimana bahasa Melayu berfungsi sebagai alat komunikasi di antara pelajar dan guru. Pengajaran dalam bahasa Inggeris menyebabkan pelajar terutama pelajar Melayu jauh ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak faham akan bahasa Inggeris.
           
            Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini juga mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini. Penyata Razak yang telah diakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957 yang mewajibkan semua sekolah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi pelbagai kaum etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai alat komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi kerana rata-rata pelajar-pelajar kita berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah dan di rumah dalam bahasa Melayu.

 Menyalurkan Ilmu Pengetahuan
Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu di kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan konsep rakyat didahulukan, perpaduan akan dikecapi. Nikmat daripada kesejahteraan rakyat maka dapatlah kita merealisasikan pencapaian melalui ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu telah memperkasa anak watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi sekaligus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara.

            Menurut Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu  bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Kedua-dua ciri ini terdapat pada bahasa Melayu di mana ia mampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa melalui pelbagai rintangan dan ia juga mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.

 Rumusan
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘lingua-franca’ dan juga ‘bahasa kedua’akhirnya menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana bagi merealisasikan Gagasan 1 Malaysia iaitu penerapan nilai-nilai aspirasi yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju melalui sistem pendidikan serta membantu mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maaju dan mampu bersaing dalam persekitaran global. Bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaannya sebagai bahasa pengantar dan bahasa wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat pengisian fikiran dan melahirkan pendapat.











                                           

4 comments:

  1. "Melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah; kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama diharap akan dapat memupuk kembali perpaduan rakyat yang renggang sebelum ini." adakah ini releven untuk semua sekolah? sebagai contoh sekolah jenis kebangsaan

    ReplyDelete
  2. Maklumat yang bagus, terima kasih

    ReplyDelete
  3. malangnya ianya telah tercemar,, bahasanya telah dicampuraduk. apakah cara yg boleh dilakukan untuk mengembalikan maruah bahasa melayu?

    ReplyDelete