Wednesday, November 21, 2012

Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Pendidikan


Pengenalan
Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu telah mencapai martabatnya sebagai bahasa negara sejak berzaman lagi. Bermula dari zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka hinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan. Bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152. Hal ini disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan yang boleh difahami oleh semua kaum.

            Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan. Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. (Abu Hassan Othman,1997).

 Kepentingan Bahasa Melayu
            Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa pengantar di Malaysia. Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di negara kita dimulakan dengan pengubalan Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak pada tahun 1956. Usul ini diperteguhkan dengan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib pada tahun 1960. Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut,

 ... Dan bahawasanya peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk, khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.”
Akta Pelajaran 1961-
             Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, Universiti Kebangsaan Malaysia telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam bahasa Melayu. Penulisan tesis dan syarahan perdana telah disampaikan dalam bahasa Melayu oleh pensyarah-pensyarahnya.

            Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa ilmu dalam bidang pendidikan kebangsaan. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki cirri-ciri yang tersendiri. Ciri-ciri yang terdapat dalam bahasa Melayu itu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu. Bahasa Melayu mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

            Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat dilihat apabila negara luar mengiktiraf bahasa Melayu. Contohnya dengan pengwujudan Kerusi Pengajian Melayu dan penawaran kursus bahasa Melayu di universiti luar negara.


           Di samping itu juga, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa rasmi di dalam semua urusan pentadbiran terutamanya dalam bidang pendidikan sama ada secara lisan atau tulisan. Kamus Dewan (1970:59) mendefinisikan bahasa rasmi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan secara meluas oleh pihak kerajaan sesebuah negara dari peringkat menteri hinggalah ke peringkat bawahan. Ia juga menjadi lambang atau simbol identiti sebuah negara merdeka. Antara fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu mereka menjalankan tugas rasmi, sebagai media pelbagai urusan surat menyurat dalaman dan antara jabatan kerajaan dan digunakan dalam semua jenis borang-borang rasmi negara.

            Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa rasmi pada 1 September 1967, iaitu selepas 10 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bermula dari detik itu, bahasa Melayu secara rasminya digunakan secara meluas dalam semua urusan rasmi kerajaan. Pengeluaran surat pekeliling Am No. 12 pada tahun 1967 memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasminya. Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam pentadbiran harian, bahasa  pengantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri.

 Rumusan
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘linguafranca’ dan juga ‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan dan bahasa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Penggunaan bahasa Melayu secara meluas diharap dapat mewujudkaan satu bangsa Malaysia dalam merealisasikan 1 Malaysia yang mana ingin rakyatnya berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mendokong satu bangsa serumpun yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara dan undang-undang yang masih terpakai sebagai sesuatu yang telah
diterima oleh semua rakyat. Bahasa Melayu telah menjurus negara ke arah keharmonian dan perpaduan yang memantapkan 1 Malysia sehingga menjana negara sebagai pelopor perpaduan dan menjadi contoh negara yang mengamalkan demokrasi pelbagai kaum. Oleh itu, aspirasi negara melalui 1 Malaysia boleh direalisasikan melalui fungsi-fungsi bahasa Melayu kerana “Bahasa Jiwa Bangsa”  

3 comments: